Wednesday 4 April 2012

SAJAK PERPADUAN

SATU   karya Mohd Fifi Ezuandy

Satu
Malaysia bumiku Malaysia
Tanah tumpah darah tercinta
Pelbagai warna budaya di dalamnya
Damai, harmoni, permai sentiasa
Di bawah naungan payung mahkota
Kita bangsa Malaysia
Bakal menerajui dunia.

Satu
Pimpinan kita disegani merata
Rakyatnya berpadu mencipta sejarah
Melakar Malaysia di pentas dunia
Menjadikan Malaysia sentiasa di pandang
Namamu sentiasa dijulang
kerana kita satu
Sentiasa berrpadu..

Satu
Bersatulah bangsaku
Kita kibar nama bangsa
Berpadulah bangsaku
Kita gegarkan dunia
Ayuh!!
Kita berganding bahu
Menuju satu Malaysia
Cemerlang, gemilang, terbilang di dunia...

Satu
Biarpun kita berbeza adat
Biarpun kita berlainan pendapat
Kita tetap satu,
Satu hati, satu jiwa, satu rasa
Nikmatnya kita kongsi bersama
kerana kita satu
Satu Malaysia.

* maaf ye jika ada kesalahan daripada karya asal...

Friday 23 March 2012

PUISI HARGAI ALAM


Indahnya Ciptaan Tuhan

Berdirinya aku di bumi ini,
Bumi yang telah mencatat berjuta sejarah,
Saat aku mula melihat dunia,
Oh! Hatiku terpaut mesra melihat keindahannya,
Panorama alam indah mencuci mata ini,
Bumi ku hijau menyejukkan sanubari.

Begitu indah ciptaan yang maha ESA,
Saat langit kebosanan,
Ditabur pula di situ bintang-bintang yang berkelipan indah pada malam hari,
Ditemani pula bulan yang terang disisi,
Pabila siang melabuhkan tirai dan malam mula mengundurkan diri,
Muncul pula matahari menerangi bumi ini,
Yang memberi khidmat pada manusia menjalani kehidupan seharian.

Saat tumbuh-tumbuhan di hutan kehausan,
Tibalah hujan membasahi bumi,
Memberi minuman pada tumbuh-tumbuhan,
Oh! Indahnya kitaran muka bumi ini,
Sehingga tak terjangkau mindaku bila memikirkannya

Nukilan:
pupel luv

Sunday 11 March 2012

PANTUN DUA KERAT


Pantun Jenaka

Menjala senangin dapat di beting,
si kepala angin cepat melenting.

Menyuling air pada senja sepi,
si juling air terbawa ke mimpi.

Kepal pulut di dalam piring,
gatal mulut kena tempeleng.

Kuini berulat di dalam piring,
berani lalat temberang lebih.

Tabuh betingkah di malam gelita,
Subuh gajah dapatkah pahala?

Todak seluang betutu pari,
si otak udang guru cabut lari.

Sudah bertiti tiada bergalah,
buah hati tiada yang salah.

Di tepi kolam menjahit sepatu,
si kaki ayam berkulit kematu.

Berbunyi jelatik di rimba sana,
pelangi tak cantik dek buta warna.

Petola madu isi di kotak,
gila-gila memandu mati katak.

Semilir angin mersik berbisik,
puteri lilin asyik bersolek.

Pedada jati semalu kerakap,
ada hati malu nak cakap.

Menjerat seladang di tepi hutan,
berat tulang tapi kuat makan.

Cerpelai singa harimau landak,
si bangkai bernyawa pun tak hendak.

Melata mempelas di depan kota,
kerja culas makan gaji buta.

SAJAK DADAH


SAJAK : Dadah Durjana

Dadah
Tika dulu kau bagai penawar
Mengukir sejarah di bidang perubatan
Penyelamat nyawa tika kesakitan

Namun kini
Martabatmu begitu hina
Hadirmu bak najis semata
Kau hanyalah pemusnah
Generasi dunia

Dadah
Kau umpama racun yang mengalir
Dalam pembuluh darah
Bagai jarum yang ditusuk hingga ke tulang
Perit..
Pedih..

Dadah
Kau durjana
Hadirmu membawa derita
Khayalan sementara cuma
Imaginasi dusta di bumi nyata
Membawa kesedihan
Mengundang derita sengsara
Dan mengusung
Kematian..

Saturday 10 March 2012

SAJAK MERDEKA


Sajak Kemerdekaan : INIKAH ERTI KEMERDEKAAN

Hatta,
setelah terjajah selama 40 dekad
setelah maruah dicalit penjajah
setelah hasil bumi dikaut pergi
dan setelah segalanya terasa rugi
baru kalian bangkit bersemangat…

Maka,
kini kau telah merdeka
kini kau telah mengecapi nikmatnya
kini kau telah sedar
dan kini kau tahu siapa kawan
siapa lawan …

Namun, apalah ertinya merdeka
kalau kau tidak tahu mensyukurinya
apalah ertinya merdeka
kalau segalanya masih berkiblatkan penjajah
dan apalah ertinya merdeka
kalau kau masih tidak mahu berubah
tidak pun menjunjung kasih
jauh sekali mengenang budi.

Sesungguhnya,
biarpun masa berlalu pergi
masih ada esok untuk mencuba lagi
masih ada ruang untuk muhasabah diri
dan masih ada tempat untuk berdiri.

Pokoknya, tanyalah diri
apalah ertinya merdeka
kalau hidup asyik bertekak
kalau hidup asyik bertuding jari
dan kalau hidup bagai musafir
yang masih tidak tahu arah berpergian
yang masih dangkal dalam keilmuan

Ingatlah
tanpa ilmu hatta teknologi
mahupun jati diri
dan hanya tahu beretorik …
tidak mustahil kita bakal dijajah lagi.

Dan kalau begitulah jadinya…
Jangan dikesali lagi…
Kerana sudah banyak kali diingati,
dan Belajarlah daripada SEJARAH dan Nikmat Kemerdekaan